Wednesday, July 31, 2013

Metroll News - Air Al Kalashnikov Dapat Mengebalkan Diri Anda Dari Tembakan


Kuala Lumpur - 31 Julai - Kes pembunuhan dan tembak menembak melibatkan pistol semakin meningkat di negara kita sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Beberapa hari yang lalu pengasas AMBANK ditembak mati di Kuala Lumpur dan polis percaya ianya bermotifkan perniagaan. Sebelum itu dua orang guru ditembak mati tanpa motif yang jelas

Oleh sebab itu Mikhail Yurionov, seorang pengusaha air yang berasal dari St Petersberg Russia menawarkan Air Al Kalashnikov ke pasaran Malaysia. Menurut Mikhail air Al Kalashnikov mampu memberikan kekebalan terhadap tembakan peluru 7.62 milimeter kepada peminumnya. Apabila ditemuramah wartawan Metroll pagi tadi, Mikhail berkata

"Saya menemui sarang anai-anai yang memakan jaket kalis peluru di sebuah kubu era Soviet berhampiran St Petersburg tahun lalu. Sebanyak 22 helai baju kalis peluru habis dimakan anai-anai ini. Saya terinspirasi untuk menapis air biasa melalui sarang anai-anai ini. Mungkin dengan izin Marx dan Lenin peminum akan kebal seperti jaket yang dimamah anai-anai"

Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai bukti sains dan empirikal bahawa peminum Al Kalashnikov akan menjadi kebal Mikhail berkata

"Saya tiada bukti empirikal ataupun sains. Yang pasti peminum harus percaya dan berserah kepada Marx dan Lenin. Jika tidak cukup percaya peluru akan tembus. Kalau air Al Khadafi boleh dijual tanpa bukti yang kukuh masakan air Kalahsnikov tidak boleh melakukan perkara yang sama?"

Pihak pengusaha air Al Kalashnikov berkata jika jualan air ini berjaya mereka akan cuba memasarkan air Al Mikoyan Gureivich pula. Air Mikoyan Gureivich akan ditapis menggunakan sarang anai-anai yang memakan sebuah pesawat jet MIG 29. Mereka percaya air Al Mikoyan akan memberikan kekebalan dari serangan roket dan bom kepada peminumnya.



Related Posts with Thumbnails

Pagenumber